We Represent

PSFT's Memo


Redbutterfly muncul juara Futsal


Oleh Hasrulraizan



Juara.. Redbutterfly dengan pihak penganjur bersama piala kejuaraan mereka.



Naib juara.. Puspa United dengan pihak penganjur.


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Redbutterfly yang hampir tewas di peringkat separuh akhir, mempamerkan aksi menarik di peringkat akhir sekali gus mewartakan mereka layak bergelar juara Kejohanan Futsal 5 Sepasukan anjuran Pihak Pengurusan Pega Star FT 2010.

Dalam perlawanan akhir malam tadi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam, Redbutterfly menang 2-0 ke atas Puspa United hasil jaringan di minit kedua dan keempat babak pertama.

Seawal perlawanan, Puspa United mengawal permainan dengan serangan bertali-arus ke kubu pertahanan lawan sehinggalah pemain Puspa United melakukan kesilapan di luar petak D gawang pasukannya apabila cubaannya menggelecek pemain Redbutterfly gagal bahkan bola berjaya direbut, lantas menyebabkan pemain Redbutterfly hanya perlu menewaskan penjaga gawang Puspa United dan beliau berjaya melaksanakannya dengan rembatan kencang.

Tersentak dengan jaringan itu, Puspa United semakin agresif menyerang dengan seorang penyerang sentiasa menanti hantaran di dalam petak D lawan, namun ia mengundang padah apabila sekali lagi kubu pertahanan mereka bocor melalui serangan balas pantas Redbutterfly.

Dengan hanya berdepan dengan seorang pemain pertahanan Puspa United, pemain Redbutterfly yang mengawal bola hanya perlu mengumpan bola kepada rakannya, yang sudah bersedia betul-betul di atas garisan petak D Puspa United bagi mudah menendang kencang bola melepasi penjaga gawang Puspa United yang sudah merebahkan badan ketika meluru kepadanya.

Puspa United cuba bangkit di babak kedua, namun Redbutterfly yang mula menampilkan taktik bertahan, berjaya mengekang Puspa United kepada cubaan-cubaan jarak jauh saja. Serangan berkesan tiba di minit ketiga melalui rembatan kencang pemain Puspa yang tepat ke kaki penjaga gawang Redbutterfly tetapi bola melantun semula kepadanya bagi peluang kedua, namun dalam keadaan para pemain Redbutterfly meluru kepadanya, tendangannya tersasar ke kanan palang gawang.

Di perlawanan mencari tempat ketiga sebelum itu, Zaimar bangkit dari ketinggalan 0-1 seawal minit pertama babak pertama bagi menewaskan APKHYT dengan jaringan 3-1, iaitu melalui jaringan gol di minit keempat dan kelima di babak pertama, sebelum menambah satu lagi jaringan gol di babak kedua.

Di peringkat separuh akhir, Redbutterfly menewaskan Zaimar 3-2 melalui sepakan penalti penentuan setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1, setelah pemain Redbutterfly menjaringkan gol beberapa saat sebelum pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan bagi menyelamatkan Redbutterfly dari kekalahan yang seakan-akan pasti.

Puspa United pula menang 1-0 ke atas APKHYT dalam satu lagi perlawanan peringkat separuh akhir yang penuh kontroversi, hasil jaringan gol di minit ketiga babak kedua permainan.

Jaringan terhasil apabila pemain APKHYT yang baru menerima hantaran bola dari penjaga gawangnya di tengah gelanggang 'diterjah keras' dari belakang oleh pemain Puspa United menyebabkan pemain APKHYT itu jatuh terduduk sekali gus merampas bola dan menghantarnya kepada rakannya, jersi 10 yang mudah menewaskan penjaga gawang APKHYT dalam keadaan 1-lawan-1.
 

Kin Fariz Blog Page | I, rz-dezign Blog Page